Tuesday, December 30, 2014

Jenis-Jenis Dadah Disalah Guna


             Pada entri kali ini Udin akan memberikan maklumat berkaitan jenis-jenis dadah yang disalah guna. Penyalahgunaan dadah boleh didefinisikan sebagai pengambilan sendiri dadah psikoaktif untuk kepuasan/keseronokan diri (euforia) dan bukan untuk tujuan rawatan. Diantara faktor yang membawa kepada salahguna dadah termasuklah ianya mudah diperolehi, perasaan ingin tahu, mencari ketenangan, pengaruh rakan dan juga tekanan hidup seseorang. Terdapat enam kelas utama dadah yang disalah guna. Ianya adalah sebagaimana berikut:-

1.       Narkotik / Opioid 
Jenis dadah    : Heroin, Morfin, Candu, Kodien & Methadon.
Asas dadah     : Tanaman – pokok candu / popi.
Kesan pengambilan : Merasa seronok, puas, santai, melegakan kesakitan dan kegelisahan.
Kesan buruk     : Sembelit, menguap, keliru, pertuturan tidak teratur, merah kulit muka, mual dan muntah, pupil mengecil, gatal dan ruam, hidung dan mata berair, sakit otot, rosak gigi & mata.

2.       Perangsang / Stimulan
Jenis dadah : Amfetamin, Methamfetamin, Ecstasy, pil kuda.
Asas dadah : Dihasilkan melalui bahan kimia.
Kesan pengambilan : Keseronokan luarbiasa, terlalu aktif, tiada selera makan.                          
Kesan buruk : Pertuturan cepat dan tidak teratur, resah, keketaran, berpeluh, kering mulut dan bibir, pupil membesar, tidak sedar, koma, halisunasi, pemarah & agresif.

3.       Penekanan / Depresan
Jenis dadah : Barbiturat, Trankuilizer, Alkohol.
Asas dadah : Dihasilkan melalui bahan kimia / penapaian
Kesan pengambilan : Mengurangkan tekanan, mententeramkan fikiran, rasa teruja.
Kesan buruk : Pertuturan tidak teratur, hilang koordinasi, keliru, depresi, keketaran, halisunasi.

 4.       Halusinogen
Jenis dadah : LSD (Lysergic acid diethylamide),
PCP (psilocin,psilocybin) Mescaline, Phencylidine
Asas dadah : Tanaman – Pokok koka / kulat / cendawan
Kesan pengambilan  :   Hayal, euforia.                                      
Kesan buruk : Mengantuk dan pasif, keliru, menyebabkan kegilaan, seperti dipukau.

5.        Kanabis
Jenis dadah : Ganja, Hashish & Marijuana.
Asas dadah : Tanaman – Pokok ganja.
Kesan pengambilan : Hayal, teruja, euforia, meningkatkan selera makan.
Kesan buruk : Kering mulut, nafas berbau, ketawa tak terkawal, peningkatan denyutan jantung, mata merah, hilang ingatan.

6.         Inhalasi  
Jenis : Cecair pencuci, gasolin, gam, pemyembur rambut, pencair cat, petrol
Asas : Bahan kimia.
Kesan pengambilan : Rasa terawang, berada diluar realiti, imijinasi.
Kesan buruk : Bengkak membran mukos di mulut dan hidung, perubahan ritma jantung, koma, mengakibatkan kematian.



Pokok kanabis / ganja


Daun ganja kering


Peralatan menghisap heroin


Pokok popi


Buah popi 


Pil estacy


Syabu


Pil eramin 5


Melalui maklumat yang ada, kita boleh melihat apakah simptom atau tanda-tanda yang dialami oleh seorang penagih dan melaluinya kita boleh mengetahui apakah jenis dadah disalah guna yang diambil. Sekiranya gejala ini terdapat dikalangan orang yang rapat dengan kita, bolehlah terus mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum ianya menjadi lebih parah serta sukar untuk dikawal dan dirawat.

Pembaca boleh melihat kesan yang berbeza bagi setiap pengambilan jenis dadah terlarang ini dengan melayari video yang  telah telah Udin upload bertajuk Kesan Dadah Yang Berbeza. Adalah diingatkan kepada pembaca supaya tidak sekali-kali mencuba sebarang dadah yang disalah guna ini. Walaupun dadah disalah guna mendatangkan keseronokan (euforia) tetapi ianya merupakan keseronokan palsu dan kesan buruk yang dialami adalah lebih teruk sehingga boleh mengakibatkan gila dan kematian.
Dadah Pemusnah

Thursday, November 27, 2014

Hikmah Dari Penjara


Sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya dan kita perlu terus memandang kehadapan demi meneruskan kehidupan. Jadikan sejarah silam  sebagai panduan atau motivasi diri  untuk terus maju.

Setiap daripada kita pastinya mempunyai pengalaman suka  duka dalam kehidupan dan ianya berbeza diantara satu dengan yang lain. Tidak kira samada ianya pengalaman pahit atau manis, semuanya merupakan asam garam yang sewajarnya menjadi kenangan yang boleh diabadikan sampai bila-bila.

Dikesempatan kali ini Udin ingin membawakan sedikit iktibar dan pengalaman yang sudi dikongsi oleh saudara kita yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah. (Rujukan : Harian Metro 25 Nov 2014) Sebahagian daripada kita kenal dengan penyanyi Ameng dari kumpulan Spring. Popular dengan lagu Sampai Hati, Romantis, Kita ditakdirkan jatuh cinta, Butakah cinta, Bourgenvilla dan banyak lagi lagu-lagu beliau yang telah menaikkan namanya dipersada seni. Pada masa ini saudara Ameng masih bergelar penghuni tirai besi kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Apa yang menarik untuk dikongsi  adalah semangat  yang ditunjukkan oleh Ameng semasa berada di sebalik tirai besi untuk memperbaiki diri dan bergiat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak penjara dan beliau bertekad untuk menjadi seorang ahli motivasi dan sudi berkongsi pengalaman yang dilalui selama ini. Berikut adalah petikan dari kata-kata Ameng ......

“Insya-Allah apabila keluar dari penjara nanti saya berhasrat nak beralih ke bidang motivasi selain menyanyi. Saya akan ceritakan semua pengalaman awal saya bagaimana boleh terjebak dengan dadah” – Ameng

Apa yang menarik untuk dikongsi daripada kisah Ameng adalah kejujuran dan kesediannya untuk berkongsi pengalam serta liku-liku hidup yang telah dilaluinya sepanjang menjadi anak seni sehinggalah ia keluar daripada tirai besi kelak dan apa yang lebih penting adalah ia berani menghadapi kenyataan dan tidak lari daripada masalah yang ada. Sama-samalah kita berdoa agar perjalanan hidup saudara Ameng dipermudahkan dan marilah kita terus memberikan sokongan atas niat sucinya demi melihat kehidupan yang lebih baik buat dirinya dan insan-insan yang senasib dengannya. Udin juga ingin kongsikan sebahagian daripada bait-bait lirik lagu yang bertajuk  Sejujur manakah kata-kata nyanyian Ameng yang boleh dikaitkan dengan kehidupan yang berlaku dalam dirinya.

 Pengalaman telah mendewasakan,
 mematangkan fikiran,
 pahit getir yang pernah kulalui,
 guruku sejati,

Sebenarnya ramai daripada kita yang tidak sedar kewujudan insan-insan berhati mulia yang sudi menghambakan diri membantu insan-insan lain yang senasib dengannya. Melalui pengalaman Udin melawat pusat-pusat rawatan dan pemulihan dadah yang dikendalikan oleh pihak NGO atau individu, kebanyakan daripada tenaga kerja mereka adalah rakan-rakan senasib yang telah pulih sepenuhnya daripada penagihan. Mereka menjadi rakan dan pembimbing kepada kumpulan-kumpulan yang mahukan perubahan dalam hidup setelah tergelincir dalam penagihan. Apa yang meraka harapkan adalah penerimaan orang yang berada disekeliling agar mereka terus berada dalam kelompok keluarga dan masyarakat serta sama-sama memberikan sumbangan dan berperanan dalam kehidupan seharian. Sebagai ahli masyarakat, marilah kita sama-sama menerima semula kehadiran kumpulan ini secara terbuka serta jauhkan daripada stigma kesalahan lampau mereka supaya mereka ini terus mempunyai kekuatan diri untuk sama-sama berada dalam masyarakat.




Spring  : Sejujur manakah kata-kata

 Sejujur mana ikhlasnya hati
 ketika lembut senyum diberi
 apakah ada tujuan...
 sebalik senyuman itu...

 Sejujur manakah kata-kata
 ketika kita bertentang mata
 boleh kah aku percaya
 mungkin itu satu sandiwara
 kerana sering
 pengucapan zahir batin tak seiring
 ada rasa ada jiwa
 terluka hilang rasa percaya

 Pengalaman telah mendewasakan
 mematangkan fikiran
 pahit getir yang pernah kulalui
 guruku sejati

 Bukan dirimu ku curigai
 aku sekadar berhati-hati...
 tidak rela bakal ada yang kecewa...
 biar waspada.



Jauhi Dadah....

Tuesday, November 11, 2014

PREVENT 2014


Assalamulaikum WBKT dan Salam Sejahtera…

            Agak lama Udin tidak update blog ini disebabkan kesebokan tugas dan aktiviti seharian yang perlu dijalani dan tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun, dikesempatan yang terluang, Udin tetap memperuntukkan sedikit masa untuk mengumpul bahan-bahan dan juga material yang akan Udin kongsikan bersama nanti.

Dikesempatan kali ini Udin ingin berkongsi sedikit pengalaman yang udin perolehi semasa menghadiri Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah 2014 (PREVENT 2014). Seminar ini telah diadakan pada 15-16 Oktober 2014 bertempat di Universiti Sains Malaysia (USIM). Seminar yang bertemakan “Amalan Bersepadu Dalam Pencegahan Dan Pemulihan Penyalahgunaan Dadah” adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap profesionalisme kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aspek pendidikan pencegahan dan rawatan pemulihan. Ianya juga menjadi medium perkongsian idea dan pengalaman dalam membincangkan isu-isu pencegahan dan rawatan pemulihan dadah di negara ini.

Sepanjang seminar ini berjalan beberapa pembentangan kertas kerja  oleh mereka yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing telah dibuat terutamanya ahli akademik dan juga pengusaha pusat rawatan dan pemulihan. Banyak ilmu dan idea dapat dikongsi dalam menangani masalah penagihan dan rawatan.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendalami ilmu dan ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program yang serupa pada masa hadapan, bolehlah berhubung dengan pihak penganjur kerana Udin difahamkan program seumpama ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh pihak universiti.
Hubungi Acreda
PEJABAT PENTADBIRAN ACREDA
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
BANDAR BARU NILAI, 71800 NILAI
NEGERI SEMBILAN
TEL: 06-798 8700/8708/8690/8421
FAX: 06-798 8699
EMAIL:
info.acreda@usim.edu.my Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.


Apa yang penting bagi Udin adalah perlunya kerjasama semua pihak dalam menangani masalah penagihan dan pemulihan. Tidak kira samada peranan seseorang itu besar atau kecil, ianya adalah perlu bagi menjamin kejayaan sesuatu program yang  dijalankan ibarat kata pepatah melayu “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu sama-samalah kita mengembeling tenaga bagi membenteras gejala ini seterusnya membantu mereka-mereka yang telah tergelincir di lembah penagihan untuk kembali kepangkal jalan.

 



 
Katakan Tidak Pada DADAH.....

Sunday, August 31, 2014

Malaysiaku Merdeka, 31 Ogos 2014

Disini, lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini, tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan.......

Inilah rangkap pertama lagu yang menjadi tema sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke 57 hari ini iaitu “Malaysia... Disini Lahirnya Sebuah Cinta”. Seindah bait-bait lagu yang dinyanyikan, seindah itu jugalah sepatutnya cinta seluruh rakyat di negara ini terhadap tanah air sendiri.

Dimana bumi dipijak disitulah langit dijunjung. Jadilah rakyat yang sayangkan keamanan dan kehormanian yang sedia terjalin kukuh. Dikesempatan ini, Udin ingin mengajak semua pembaca untuk sama-sama menanamkan kecintaan yang mendalam terhadap negara kita sendiri. Hindari persengketaan sesama kita dan dalam konteks memerangi gejala dadah, sama-samalah kita berganding tenaga merealisasikan matalamat negara sifar dadah menjelang 2015.


Malaysia..Disini Lahirnya Sebuah Cinta


Warisan


Merdeka, Merdeka, Merdeka.......

Saturday, August 9, 2014

Sejarah Dadah di Malaysia

           Dadah bukanlah perkara baru kepada kehidupan seharian manusia kerana saban hari kita terlibat dalam penggunaan dadah berbentuk ubat ubatan yang dibenarkan atau mendapat maklumat berkaitan peristiwa yang berlaku melibatkan dadah terlarang. Mengikut sumber sejarah, dadah dikaitkan dengan alam fantasi oleh masyarakat zaman dahulu dan menjadi sumber keseronokan atau hiburan tetakala tiada aktiviti yang hendak dilakukan selepas penat daripada bekerja. Mereka hanya mencari keseronokan tanpa mengetahui keburukan akibat pengambilannya terutama ketagihan yang amat sukar untuk dipulihkan.

Di Malaysia, penyalahgunaan dan penagihan dadah berkait rapat dengan sejarah dan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Sejak awal abad ke 19 penjajah  Inggeris mula meneroka lombong-lombong bijih timah, membuka ladang getah secara besar-besaran dan memerlukan tenaga buruh yang ramai. Oleh kerana kekurangan tenaga buruh, pekerja Cina telah dibawa masuk untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan pekerja India dibawa masuk untuk bekerja di ladang-ladang getah. Buruh asing ini terutamanya pekerja cina telah mengenali dan mengambil dadah sejak dari negara asal mereka bagi memenuhi masa lapang untuk berseronok dan berkhayal. Kebanyakan mereka ini mengambil candu yang begitu mudah diperolehi dari negara asal mereka. Penagihan candu dikalangan buruh cina telah mula ketara dan menimbulkan masalah apabila berlaku  kemasukan candu dari negara Cina ke Tanah Melayu dalam bilangan yang banyak serta kian meningkat sehingga sukar untuk dikawal.

 
Pada tahun 1910 kerajaan Inggeris telah mengambil alih tugas mengawal kemasukan candu. Kedai-kedai-kedai menjual candu dan rumah-rumah menghisap candu “Opium Dens” telah dilesen dan didaftarkan termasuklah juga dengan penagih-penagih candu. Kerajaan juga telah mengenakan cukai keatas aktiviti ini sehinggalah kedai-kedai ini dikenali sebagai “Kedai Candu Kerajaan” atau “Pajak Candu”. Pada tahun 1925 selepas konvensyen Geneva, perdagangan candu dihadkan hanya kepada penagih candu yang berdaftar sahaja. Pada tahun 1929, terdapat 73,000 penagih candu berdaftar di negeri-negeri Selat dan 52,313 di Negeri-Negeri Bersekutu. Pada 1934, tindakan yang lebih drastik telah diambil, dimana hanya penagih candu yang telah disahkan oleh pegawai perubatan sahaja dibenarkan membeli candu dan pada 1945, telah dikuatkuasakan larangan melalui undang-undang.

Selepas perang dunia kedua, kerajaan Inggeris terpaksa mengharamkan sama sekali penjualan dan pengendaran candu dimana kesan daripada tindakan ini telah menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan candu. Kerajaan Inggeris terpaksa mengambil tindakan yang lebih serius untuk mengharamkan kegiatan menjual dan menghisap candu dengan lebih berkesan iaitu dengan mewujudkan  Akta Dadah Berbahaya yang telah dikuatkuasakan pada tahun 1952. Mengikut akta ini, sesiapa yang memiliki dan menghisap candu melakukan suatu kesalahan dan mahkamah khas ditubuhkan bagi mengendalikan kes-kes melibatkan candu dimana hakim yang bertugas dikenali sebagai Hakim Mahkamah Candu.

Trend penagihan telah bertukar corak pada akhir tahun 1960an dimana sebelum ini penagihan candu hanya tertumpu kepada golongan tua sahaja, tetapi selepas akhir tahun 1960an golongan belia telah mula melibatkan diri dengan penagihan yang yang berlainan daripada candu iaitu mereka mula menagih heroin, morfin, ganja dan pil-pil psikotrapik. Keadaan ini berlaku disebabkan kemasukan pengaruh budaya barat melalui pengaruh kumpulan-kumpulan muzik barat yang mengamalkan pengambilan dadah terlarang. Sebagaimana diketahui, segitiga emas “Golden Triangle” melibatkan negara-negara di utara Thailand merupakan negara pengeluar popi terbesar dimana terdapat askar-askar Amerika yang terlibat dengan peperangan di Vietnam telah menghabiskan cuti di Malaysia dan membawa masuk dadah untuk mengurangkan tekanan yang dialami.  Mereka juga diketahui memperkenalkan dadah kepada belia di Malaysia dan setelah peperangan di Vietnam tamat sindikit pengedaran dadah telah mula mencari pasaran baru di Asia Tenggara termasuklah Malaysia untuk mencari keuntungan.

Fakta di atas merupakan catatan sejarah bagaimana dadah boleh berada di Malaysia yang Udin perolehi melalui pembacaan buat maklumat semua. Pada entri yang lain nanti Udin akan menulis tentang tren penyalahgunaan dadah masa kini yang semakin membimbangkan kerana kebanyakan dadah yang disalahguna merupakan dadah jenis sintetik yang mana kesannya lebih bahaya daripada dadah berbentuk tradisional.






Golden Triangle 

Dikesempatan ini juga Udin juga ingin berkongsi maklumat melalui video di bawah iaitu pengalaman semasa berada di muzium Hall of Opium yang sempat Udin lawati.  Kepada rakan pembaca, sekiranya berpeluang ke Chiang Rai Thailand nanti jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi muzium ini. Banyak maklumat tentang sejarah awal kemasukan dan pengambilan dadah jenis opiod dipamirkan dan ianya merupakan suatu pengalaman yang sangat menarik dan berfaedah  yang boleh diperolehi di muzium ini. Selain itu Udin juga kongsikan bagaimana pokok popi ditanam dengan meluasnya di kawasan Golden Triangle.          
 


 



Muzium  Hall Of Opium 


Ladang popi

Wednesday, August 6, 2014

Rawatan Terapi Gantian Menggunakan Methadone


            Entry kali ini Udin akan membicarakan dengan serba ringkas tentang Rawatan Terapi Gantian Menggunakan Methadone yang mana ianya merupakan alternatif pengganti kepada pengambilan dadah jenis opiod (heroin & morphine) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

Secara umumnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf penagihan dadah sebagai sejenis penyakit kronik dan berulang,  sehubungan dengan itu pelbagai usaha telah digerakkan bagi mengenalpasti rawatan yang lebih berkesan untuk membantu penagih dadah mengatasi ketagihan yang mereka alami. Memandangkan penagihan dadah jenis opiod  amatlah meluas di seluruh dunia pada tahun-tahun 50’an terutamanya di kalangan veteran Amerika Syarikat yang kembali dari peperangan di Asia Tenggara pada tahun 50’an dan 60’an, usaha untuk mencari rawatannya dilipatgandakan. Pada tahun 1950’an, Dr Dole dan Nyswander menemui methadone dan seterusnya membuktikan secara saintifik bahawa ia mampu mengawal serta mengurangkan penggunaan dadah jenis opiod. Dengan penemuan ini, Rawatan Terapi Gantian (RTG) atau lebih dikenali dengan Methadone Maintenance Therapy (MMT) mula digunapakai di seluruh dunia. Di Malaysia Pelaksanaan Program Rawatan Terapi Gantian menggunakan methadone bermula pada bulan Oktober 2005. Tujuan utama Program Terapi Gantian methadone adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup penagih dadah. Secara khususnya, program ini adalah bertujuan untuk :-

i.       Mengurangkan kadar penagihan semula di kalangan penagih dadah terutama sekali yang tegar;

ii.      Meningkatkan tahap kecergasan mental dan fizikal;

iii.  Mengurangkan kejadian jangkitan penyakit di kalangan penagih dadah yangberkongsi jarum suntikan;

iv.     Meningkatkan fungsi psikososial di kalangan penagih dadah termasuk keupayaan mereka untuk mendapat dan mengekalkan mutu kerja serta meningkatkan keyakinan diri untuk kembali ke dalam masyarakat yang mana akhirnya nanti ianya dapat memberi satu harapan kepada penagih dadah tegar agar mereka dapat kembali berfungsi secara normal, mempraktiskan gaya hidup sihat dan menjadi lebih produktif dalam masyarakat.

Program Rawatan Terapi Gantian menggunakan methadone dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ianya boleh diperolehi di AADK, klinik kesihatan terpilih dan klinik swasta yang tertentu sahaja. Dalam program ini, penagih perlu hadir mendaftar di klinik yang berkaitan dan akan mengambil methadone setiap hari mengikut sukatan yang telah ditentukan oleh doktor. Program ini akan berlanjutan mengikut suatu tempoh masa tertentu sehinggalah penagih telah benar-benar pulih dan tidak bergantung kepada methadone sepenuhnya. Program terapi gantian ini adalah hanya untuk penagih dadah jenis opiod sahaja (heroin & morphine) dan bukan lain-lain jenis dadah. Ianya merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membantu penagih dadah jenis ini kembali dari penagihan.

Kepada mana-mana pihak yang memerlukan keterangan lanjut berkaitan program ini, silalah hadir ke pejabat AADK yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut dan khidmat nasihat yang betul. Bantulah mereka yang telah terlibat dengan penagihan ini kembali semula menjadi sebahagian daripada ahli keluarga dan masyarakat kita.


Methadone syrup

Buku Rawatan

Methadone Treatment

Klinik  Methadone
Rawatan Methadone di Mesjid

Katakan TIDAK pada dadah.....

Tuesday, August 5, 2014

Jom Lawak – Bilik Mayat.

Seorang pegawai polis masuk ke bilik mayat sebuah hospital untuk menyiasat punca kematian tiga lelaki sekaligus. Selepas memeriksa mayat-mayat itu, dia bertanya kepada penjaga bilik berkenaan.


Polis : Mengapa ketiga-tiga mayat tersenyum?

Penjaga : Lelaki pertama sedang bersanding, apabila tiba2 diserang strok.Lelaki kedua pula khabarnya menang loteri dan mati serangan sakit jantungmanakala yg ketiga disambar petir.


Polis : Hah! Kenapa disambar petir pun tersenyum?
Penjaga : Masa tu dia ingat orang sedang ambil gambarnya…

Kesan Dadah Yang Berbeza


            Terdapat berbagai jenis dadah disalahguna yang berada dipasaran pada masa ini. Samada ianya berbentuk tradisional yang boleh ditanam sendiri seperti ganja sehinggalah dadah yang berbentuk sintetik iaitu dadah yang dihasilkan di makmal. Setiap daripada dadah ini sebenarnya mempunyai kesan yang berbeza kepada kelakuan dan perbuatan keatas pengambilnya. Ada jenis dadah yang kononnya boleh memberikan ketenangan menyebabkan penagih khayal dalam dunia mereka sendiri. Ada jenis dadah yang boleh merangsang pengambilnya dan akan memberikan tindakbalas secara agresif.


Kepada sesiapa yang masih tidak mengetahui apakah kesan pengambilan bagi setiap jenis dadah, Udin ingin kongsikan kesan daripada pengambilan dadah terlarang ini. Daripada tontonan, diharapkan anda semua mendapat maklumat yang berguna dan elakkan dari mencuba sebarang jenis dadah yang ada.


Jauhi Dadah .....

Kerana Dadah...


Kerana dadah, diri digadaikan
Kerana dadah, pembunuhan dibenarkan
Kerana dadah, harta dihabiskan
Kerana dadah, rakan dihindarkan
Kerana dadah, keluarga dipinggirkan
Kerana dadah, integriti diabaikan
Kerana dadah, jiwa merana
Kerana dadah.......



Banyak lagi kesan-kesan buruk akibat pengambilan dan penyalahgunaan dadah. Apa yang Udin senaraikan di atas hanyalah sebahagian daripada akibat yang terjadi kepada mereka yang mengambil dadah. Lihatlah bagaimana sensara dan merananya mereka yang telah terjabak kedalam kancah penagihan melalui video yang ingin Udin kongsikan bersama. Jadikanlah ianya sebagai suatu pengajaran yang amat berguna supaya kita tidak sekali-kali mempunyai perasaan atau keinginan untuk mencubanya kerana sekali mencuba, merana selamanya.

Say No To Drug

Salam Aidil Fitri 2014...

         Selamat menyambut hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mudah-mudahan segala amalan terpuji yang kita laksanakan sepanjang Ramadan diredai Allah hendaknya dan terus diperteguhkan lagi. Walaupun agak lewat bagi Udin memberikan ucapan Salam Aidil Fitri, namun ianya masih belum terlambat kerana Aidil Fitri disambut selama sebulan. Dikesempatan ini Udin menyusun jari memohon keampunan dan kemaafan atas kesalahan dan keterlanjuran yang berlaku samada disedari atau tidak. Semoga ikatan silaturahim sesama insan dapat diperkukuhkan lagi demi melahirkan kehidupan yang lebih harmoni dan bermakna.


Sambutlah Aidil Fitri dengan orang tersayang serta rakan taulan dan jangan ada jurang antara kita dalam meraikan sambutan Aidil Fitri kali ini. Rakamkan kenangan indah bersama mereka dalam kotak memori kita buat ingatan selama-lamanya. Dalam pemerhatian Udin sepanjang menyambut ketibaan Aidil Fitri terdapat rakan-rakan yang agak dipinggirkan terutama mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan atau bekas-bekas penagih. Ambil peluang untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka dan sekiranya ada ruang untuk memberi nasihat, pandangan atau bantuan cubalah hulurkan. Semoga sedikit pertolongan yang kita berikan dapat memberikan semangat dan kekuatan kepada mereka untuk membuat sedikit perubahan yang akan menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih besar.




Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin.... 
9 Syawal 1435

Friday, July 4, 2014

Mr Posmen...


Seorang posmen yang datang menghantar surat.

” Assalamualaikum ”

” Walaikumsalam ”

” Ni rumah encik Sameon ye?

” Ya saya”

” Poning kepala saya mencari alamat rumah encik ni ”

” Buat susah aje encik nie! Apsal tak pos aje?”

Jom Lawak – Kawan Atok...


Seorang atok membawa cucunya ke pejabat pos untuk menghantar surat.

Cucunya bertanya bila melihat atoknya memasukkan surat ke dalam tong

berwarna merah.

“Atok buat apa tu?”.

“Atok bagi surat kat kawan atok,cu!” jawap atoknya.

Cucunya bertanya lagi, “Apa bangang sangat kawan atok

duduk dalam tong merah tu?” .............................

Thursday, July 3, 2014

Kemana nak pergi...


              Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan...
Ramai yang tidak tahu kemana hendak dituju andai telah terlibat dengan penagihan dadah dan apa yang perlu dibuat. Pada entry kali ini Udin akan memberikan sedikit maklumat tempat-tempat yang boleh dikunjungi bagi mendapatkan khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan. Sekiranya ada diantara ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan kita yang mempunyai tanda-tanda penagihan, segeralah mendapatkan nasihat dan maklumat lanjut ke tempat-tempat yang sewajarnya.

Di Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang menguruskan hal-hal berkaitan penyalahgunaan dadah. AADK merupakan agensi utama yang memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan negara Malaysia yang bebas daripada ancaman dadah menjelang tahun 2015. Sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan sebarang maklumat atau bantuan dari pihak AADK. Silalah berkunjung ke laman web mereka ataupun menghubungi mereka di alamat berikut :-

                                                      AADK
Tel : 03 - 8911 2200 Fax: 03 - 8926 2055

Selain badan kerajaan, terdapat juga badan-badan NGO atau swasta yang menubuhkan Pusat Rawatan dan Pemulihan. Kebanyakan pusat rawatan ini berteraskan agama dalam melaksanakan rawatan dan pemulihan. Walaupun pusat-pusat ini mengamalkan  pendekatan yang berbeza dari segi modul dan pendekatan, tetapi kesemuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu memulihkan penagih dan memastikan kepulihan itu kekal selamanya. Kesemua tempat-tempat yang tersenarai di bawah merupakan tempat-tempat yang pernah Udin lawati dan Udin berpeluang melihat sendiri aktiviti yang dijalankan. Pusat Rawatan dan Pemulihan swasta ini dikendalikan oleh individu-individu berpengalaman dan kos rawatan dan pemulihan ini perlu ditanggung oleh keluarga pelatih. Pilihan adalah adalah ditangan keluarga samada menghantar penagih ke pusat yang dikendalikan oleh pihak kerajaan secara percuma ataupun ke pusat pemulihan swasta yang mengenakan bayaran. Sekiranya ingin mendapatkan rawatan di pusat swasta, pastikan anda mendapat maklumat yang jelas tentang kaedah, modul serta bayaran yang dikenakan.

Pusat-pusat rawatan swasta yang ada di Malaysia dan pernah Udin lawati.
   
1.       Darul Hanan, Wakaf Baru, Kelantan
2.       Baitul Taubah, Pasir Putih, Kelantan
3.       Pusat Pemulihan Hati, Jenagor, Terengganu
4.       Darul Manzil, Sabak Bernam, Selangor
5.       Darul Islah, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor
6.       Rumah Sahabat, Kajang, Selangor
7.       Pondok Remaja Inabah 1 Malaysia, Pokok Sena, Kedah
8.       DIC Kuantan, Pahang
9.       Pengasih, Kuala Lumpur

Maklumat lanjut berkaitan pusat-pusat rawatan boleh diperolehi melalui laman sesawang mereka ataupun minta nasihat daripada pihak AADK kerana kesemua pusat ini berada dibawah pemantauan mereka. Sekiranya inginkan pusat pemulihan yang lebih selesa, boleh juga melayari laman web The Cabin, Drug & Alcohol Rehabilitation Centre, Chiang Mai, Thailand. Udin dan rakan-rakan berpeluang melawat dan melihat kemudahan tempat ini. Sangat menarik, tetapi yang pasti kosnya adalah tinggi.


                         Best Drug Rehab Center  - Find the Best Drug Rehab Center Today