Thursday, May 15, 2014

Kesan Pergantungan Psikologi dan Fizikal Dadah

            Kali ini Udin akan menerangkan sebahagian daripada kesan yang akan dialami oleh individu yang mengambil dadah. Pada entry terdahulu Udin telah jelaskan ciri-ciri dadah yang disalahguna. Diantaranya adalah pergantungan psikologi dan fizikal. Apabila seseorang itu mengambil dadah, samada suka atau tidak individu tersebut akan mengalami kesan pergantungan kepada dadah. Terdapat dua kesan pergantungan yan akan dialami iaitu :-

        1. Pergantungan psikologi, dan
        2. Pergantungan fizikal.

Pergantungan Psikologi

            Pergantungan psikologi merujuk kepada perasaan “memerlukan” atau dalam istilah biasa adalah ‘gian’ kepada dadah. Individu yang mengalami pergantungan psikologi terhadap dadah yang tertentu selalunya merasakan dirinya tidak dapat berfungsi secara normal tanpa penggunaan berterusan dadah tersebut.

Bagaimana pula pergantungan ini boleh berlaku ?. Didalam otak manusia terdapat tapak ganjaran yang menyebabkan seseorang rasa seronok. Dopamin merupakan neurotransmiter yang menyebabkan keseronokan. Apabila seseorang berasa seronok untuk melakukan sesuatu, maka ia akan mengulangi semula perbuatan tersebut. Apabila seseorang mengambil dadah, dopamin akan dibebaskan dengan kadar yang banyak dan disebabkan itulah terdapat dorongan untuk mendapatkan kepuasan/keseronokan diri yang disebut sebagai ‘euforia’. Tanpa disedari, keseronokan yang dihasilkan oleh dadah merupakan “keseronokan palsu”. Ada diantara penagih dadah yang telah pulih dari penagihan, tetapi gagal untuk mengawal diri kerana faktor keseronokan yang dirasakan sehingga menyebabkan ia kembali menagih ataupun ‘relaps’. Dalam istilah atau bahasa penagih, mereka menyebutnya sebagai ‘Rindu’ terhadap dadah.

Dalam kehidupan biasa manusia, keseronokan semulajadi  yang  dicapai adalah melalui makanan yang enak dan hubungan sex. Ada pendapat yang mengatakan apabila penagih mengambil dadah, ia dapat mencapai euforia sebanyak tiga kali ganda dari keseronokan semulajadi hubungan sex. Disebabkan faktor ini jugalah penagih meneruskan aktiviti mereka. (kepada pembaca sekalian, jangan lah pula cuba mengambil dadah untuk mendapatkan euforia jenis ini kerana ada cara lain yang boleh dilakukan selain mengambil dadah). Udin percaya pendapat ini mungkin ada kebenarannya kerana kalau kita lihat banyak aktiviti yang berkaitan dadah dan sex berlaku dilapurkan di mass media.


Penghasilan Dopamin


Pergantungan Fizikal

            Pergantungan fizikal merujuk kepada perubahan yang berlaku pada badan selepas penggunaan berterusan dadah. Pergantungan ini merupakan proses fisiologi yang biasa berlaku dimana jika pengambilan dadah ini dihentikan ianya akan  menimbulkan gejala-gejala ‘tarikan’. Sindrom tarikan merupakan tanda-tanda yang dialami oleh individu yang terbentuk  secara tindakbalas semulajadi terhadap sesuatu dadah yang diambil dan ianya berlaku apabila pengambilan dihentikan atau dos yang diambil tidak mencukupi.

Diantara gejala yang biasa berlaku adalah sakit perut, muntah-muntah, menggeletar, berhingus, mata merah dan sebagainya. Gejala ini berbeza mengikut jenis dadah yang diambil. Gejala ini akan berlaku dalam suatu tempoh tertentu setelah pengambilan terakhir dan apabila gejala ini berlaku, penagih akan menyambung pengambilan secara berterusan.

Kesan Pergantungan

           Daripada maklumat pergantungan psikologi dan fizikal, kita dapati pemikiran dan badan penagih telah bergantung sepenuhnya kepada dadah. Sebab itulah seorang penagih sukar untuk meninggalkan tabiat pengambilan dadah dan pulih sepenuhnya. Satu lagi sifat semulajadi dadah adalah keberkesanannya akan berkurangan setelah digunakan secara berterusan. Oleh itu penagih akan mengambil dos yang lebih untuk mendapatkan kesan yang sama. Apabila pengambilan yang berlebihan dibuat, ianya akan menghasilkan tindakbalas depresi pernafasan yang boleh mengakibatkan kematian. Inilah yang disebut ‘overdose’ sepertimana yang selalu kita lihat ada penagih yang mati disebabkan pengambilan dadah yang berlebihan.


Overdose - Nick Real Story

Wassalam.

No comments:

Post a Comment