Wednesday, August 6, 2014

Rawatan Terapi Gantian Menggunakan Methadone


            Entry kali ini Udin akan membicarakan dengan serba ringkas tentang Rawatan Terapi Gantian Menggunakan Methadone yang mana ianya merupakan alternatif pengganti kepada pengambilan dadah jenis opiod (heroin & morphine) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

Secara umumnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf penagihan dadah sebagai sejenis penyakit kronik dan berulang,  sehubungan dengan itu pelbagai usaha telah digerakkan bagi mengenalpasti rawatan yang lebih berkesan untuk membantu penagih dadah mengatasi ketagihan yang mereka alami. Memandangkan penagihan dadah jenis opiod  amatlah meluas di seluruh dunia pada tahun-tahun 50’an terutamanya di kalangan veteran Amerika Syarikat yang kembali dari peperangan di Asia Tenggara pada tahun 50’an dan 60’an, usaha untuk mencari rawatannya dilipatgandakan. Pada tahun 1950’an, Dr Dole dan Nyswander menemui methadone dan seterusnya membuktikan secara saintifik bahawa ia mampu mengawal serta mengurangkan penggunaan dadah jenis opiod. Dengan penemuan ini, Rawatan Terapi Gantian (RTG) atau lebih dikenali dengan Methadone Maintenance Therapy (MMT) mula digunapakai di seluruh dunia. Di Malaysia Pelaksanaan Program Rawatan Terapi Gantian menggunakan methadone bermula pada bulan Oktober 2005. Tujuan utama Program Terapi Gantian methadone adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup penagih dadah. Secara khususnya, program ini adalah bertujuan untuk :-

i.       Mengurangkan kadar penagihan semula di kalangan penagih dadah terutama sekali yang tegar;

ii.      Meningkatkan tahap kecergasan mental dan fizikal;

iii.  Mengurangkan kejadian jangkitan penyakit di kalangan penagih dadah yangberkongsi jarum suntikan;

iv.     Meningkatkan fungsi psikososial di kalangan penagih dadah termasuk keupayaan mereka untuk mendapat dan mengekalkan mutu kerja serta meningkatkan keyakinan diri untuk kembali ke dalam masyarakat yang mana akhirnya nanti ianya dapat memberi satu harapan kepada penagih dadah tegar agar mereka dapat kembali berfungsi secara normal, mempraktiskan gaya hidup sihat dan menjadi lebih produktif dalam masyarakat.

Program Rawatan Terapi Gantian menggunakan methadone dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ianya boleh diperolehi di AADK, klinik kesihatan terpilih dan klinik swasta yang tertentu sahaja. Dalam program ini, penagih perlu hadir mendaftar di klinik yang berkaitan dan akan mengambil methadone setiap hari mengikut sukatan yang telah ditentukan oleh doktor. Program ini akan berlanjutan mengikut suatu tempoh masa tertentu sehinggalah penagih telah benar-benar pulih dan tidak bergantung kepada methadone sepenuhnya. Program terapi gantian ini adalah hanya untuk penagih dadah jenis opiod sahaja (heroin & morphine) dan bukan lain-lain jenis dadah. Ianya merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membantu penagih dadah jenis ini kembali dari penagihan.

Kepada mana-mana pihak yang memerlukan keterangan lanjut berkaitan program ini, silalah hadir ke pejabat AADK yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut dan khidmat nasihat yang betul. Bantulah mereka yang telah terlibat dengan penagihan ini kembali semula menjadi sebahagian daripada ahli keluarga dan masyarakat kita.


Methadone syrup

Buku Rawatan

Methadone Treatment

Klinik  Methadone
Rawatan Methadone di Mesjid

Katakan TIDAK pada dadah.....

1 comment: