Tuesday, August 5, 2014

Salam Aidil Fitri 2014...

         Selamat menyambut hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mudah-mudahan segala amalan terpuji yang kita laksanakan sepanjang Ramadan diredai Allah hendaknya dan terus diperteguhkan lagi. Walaupun agak lewat bagi Udin memberikan ucapan Salam Aidil Fitri, namun ianya masih belum terlambat kerana Aidil Fitri disambut selama sebulan. Dikesempatan ini Udin menyusun jari memohon keampunan dan kemaafan atas kesalahan dan keterlanjuran yang berlaku samada disedari atau tidak. Semoga ikatan silaturahim sesama insan dapat diperkukuhkan lagi demi melahirkan kehidupan yang lebih harmoni dan bermakna.


Sambutlah Aidil Fitri dengan orang tersayang serta rakan taulan dan jangan ada jurang antara kita dalam meraikan sambutan Aidil Fitri kali ini. Rakamkan kenangan indah bersama mereka dalam kotak memori kita buat ingatan selama-lamanya. Dalam pemerhatian Udin sepanjang menyambut ketibaan Aidil Fitri terdapat rakan-rakan yang agak dipinggirkan terutama mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan atau bekas-bekas penagih. Ambil peluang untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka dan sekiranya ada ruang untuk memberi nasihat, pandangan atau bantuan cubalah hulurkan. Semoga sedikit pertolongan yang kita berikan dapat memberikan semangat dan kekuatan kepada mereka untuk membuat sedikit perubahan yang akan menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih besar.




Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin.... 
9 Syawal 1435

No comments:

Post a Comment